Wednesday, July 21, 2010

Ayam Percik Ada Kalanya Jadi Pahit

Sikap mengambil mudah tentang sesuatu perkara amatlah satu tindakan manusia yang sangat di tegah. Kita mendengar kata-kata ini hampir setiap hari dan kita tahu ini bukan cara yang baik untuk menguruskan hidup ini yang penuh dengan duri yang akan sentiasa mencucuk daging daging. Walaubagaimanapun, kata-kata ini terus di bedil dan ditaburkan sehingga telinga ini bergegar rancak, namun adakah kita betul betul tidak memandang sesuatu dengan mudah?

Saya ajukan soalan ini kerana saya sendiri memang mengambil mudah tentang banyak perkara. Masalah bukan untuk kita lari, tapi menempuhinya dengan kebijaksanaan yang di anugerahkan tuhan. Saya tidak lari dari masalah saya, cuma saya bukan seorang pelari pecut yang baik. Lemak yang melingkari badan ini menarik rebah diri saya lalu saya tersungkur menjilat tanah merah. Saya keliru. Saya memang keliru. Saya cuba untuk membetulkan diri ini setiap semester, namun, sikap saya ini merantai jiwa dan jasad sebelum saya sempat untuk mencapai potensi diri saya. Saya tidak bodoh tetapi sikap saya yang menelan diri sebelum saya sempat untuk mencapai potensi yang saya ada.

Menelan kepahitan hidup ini tidaklah mudah. Tetapi, menguyah kemanisan adalah tersangatlah senang sehingga kita alpa dan lalai menjalani hidup ini. Saya teringat kata kata lama, hidup ini bukanlah sekadar menuju ke sesuatu destinasi tetapi perjalanan untuk sampai ke destinasi itu. Ikhlasnya, saya marah dengar diri ini. Saya tahu saya ada otak yang baik seperti air yang mengalir di jeram, tapi nafsu, yang menjadi empangan menghalang pergerakan air itu.

Saya melihat ramai sahabat saya yang banyak mengambil mudah tentang hidup ini malah lebih teruk dari saya jangkakan. Tidak saya mahu ulaskan tentang mereka dalam mentadbir pelajaran, tapi hanya soal tanggungjawab seorang rakyat, seorang manusia, seorang insan. Hanya dua yang saya ingin kupaskan,pertama; tidak mendaftar sebagai pengundi. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat selepas berumur 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi yang sah. Pelbagai alasan di lemparkan, antaranya;

a) aku benci politik
b) politik Malaysia di penuhi dengan sampah dan penipuan
c) tidak tahu parti mana yang patut di pilih.
d) satu undi aku tidak memberi apa apa kesan

Saya hairan kenapa ramai membenci politik kerana Islam ialah politik. Kerana politiklah satu satu negara dapat membangun maju, dan kerana politiklah, Empayar Rom, Han, Islam berkembang tamadunnya. Sedarlah, tanpa politik, manusia akan menjadi kucar kacir dan terus mundur. Alasan ke dua ada rasionalitinya. Memang, politik Malaysia di penuhi dengan rasuah dan penipuan, namun kita sebagai rakyat ada hak dan kuasa untuk mengubahnya.

Semua parti di Malaysia ada baik dan buruknya. Walaupun PAS adalah parti Islam, namun, manusia tidak boleh lari dari ketidaksempurnaan dan kecacatan. Saya tidak menyuruh untuk menyokong mana mana parti politik, namun gunalah kebijaksanaan dan pemerhatian anda dalam memilih parti terbaik untuk mentadbir negara. Alasan terakhir adalah alasan yang sangat lemah. Sama juga kalau berkata tidak ada masa untuk mendaftar. Satu undi memang tidak banyak memberi kesan tapi ia adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat.

Selain itu, kita suka mengambil mudah tentang kebersihan. Kita bercakap tentang teknologi hijau, kitar semula dan sebagainya, namun sejauh mana kita dalam menjaga alam sekitar. Sesungguhnya kita manusia memang tidak dapat lari dari mengambil mudah tentang perkara perkara di sekeliling kita walaupun kita sedar atau pun tidak.

No comments:

Post a Comment